NASI AMBENG ISTIMEWA

NASI AMBENG ISTIMEWA
HANYA DI RIVERSTONE ECO RESORT. Hutan Lipur Sungai Tua, Batu Caves, Selangor. 013-2080833, 03-92022672

Thursday, January 6, 2011

Program cintakan hutan

Sebahagian daripada 36 kanak-kanak dari dua rumah kebajikan yang menyertai program perkhemahan anjuran Majlis Perkayuan Malaysia di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, baru-baru ini.
--------------------------------------------------------------------------------


KEHIJAUAN flora dan fauna Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong nyata memukau sekumpulan kanak-kanak yang rata-ratanya baru pertama kali menjejakkan kaki ke hutan tersebut.

Tiga puluh enam kanak-kanak berumur antara 12 hingga 14 tahun dari Desa Amal Jireh, Semenyih dan Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Anak Yatim Miskin, Sabak Bernam, Selangor itu, dijemput khas bagi menyertai program perkhemahan satu malam anjuran Majlis Perkayuan Malaysia (MTC) di Kem Perah di institut tersebut.

Mereka dibawa bercuti daripada rutin harian mereka untuk menikmati ketenangan suasana hutan buatan manusia dan menimba pengalaman yang sukar dilupakan sambil meningkatkan kesedaran dan kecintaan mereka terhadap alam semula jadi dan persekitaran.

Sepanjang program itu kumpulan kanak-kanak tersebut diajar cara mendirikan khemah sendiri untuk membolehkan mereka bermalam di dalamnya.

Mereka kemudian dibawa menyusur hutan dan berjalan atas kanopi - pengalaman itu ternyata mendebarkan bagi kebanyakan mereka.

Sebahagiannya memberanikan diri meniti jambatan gantung sepanjang 200 meter pada ketinggian kira-kira 35 meter dari paras bumi, dengan pokok tropika yang besar sebagai titik perhentian sepanjang laluan.

Sebagai ganjaran, mereka dapat menikmati pemandangan latar langit Kuala Lumpur yang indah apabila berdiri di atas pelantar paling tinggi, yang dibina di keliling sebatang pokok di tepi jambatan gantung.

Pada sebelah malamnya pula diadakan aktiviti berjalan malam yang memberi pengalaman unik - melihat dan mendengar bunyi makhluk yang keluar berkeliaran pada waktu tersebut.

Sewaktu menyusur sungai, pemandu FRIM mengejutkan mereka dengan menangkap seekor udang hidup dan menyuruh seorang daripada mereka memakannya.

Aktiviti lain turut dijalankan seperti perlumbaan berhalangan yang menguji ketangkasan, semangat kerja berpasukan dan kreativiti.

Namun kemuncak program pastinya perlumbaan mencari harta di mana mereka diberi cabaran menyelesaikan teka teki dan mengharungi cabaran di setiap 'stesen' atau tempat pemeriksaan

Sementara itu Pengarah MTC, Suria Zainal, berkata, ini adalah kali pertama MTC menganjurkan perkhemahan malam untuk kanak-kanak kurang bernasib baik.

"Sudah pasti kami ingin meneruskan usaha seperti ini pada tahun depan, dan kami berharap untuk melibatkan lebih ramai kanak-kanak dan lebih banyak program.

"Perkhemahan ini memberi mereka peluang yang baik untuk mendapatkan pengetahuan tentang keajaiban alam dan kami berharap untuk meningkatkan kesedaran mereka terhadap hutan Malaysia dan lebih bertanggungjawab terhadap penggunaan dan pemuliharaan sumber alam.

"Ia juga adalah cara yang baik untuk memupuk perpaduan di kalangan kanak-kanak berbilang kaum dan agama," kata Suria.

No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan komentar anda"