Ajmal ditubuhkan untuk menyegarkan ingatan generasi muda mengenai tradisi orang Jawa seperti baraan, balalan atau jaluk ngapuro, rewang dan nasi ambeng.
Melangkah sahaja di Restoran Riverstone, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada hari pertama 2011, penulis berasa begitu teruja kerana dikelilingi anak-anak Malaysia berdarah Jawa.
Walaupun jarang berjumpa antara satu sama lain, ternyata keakraban mereka terserlah ketika berkumpul pada majlis, Anak Jawa Malaysia Ngumpul @PWTC dengan penggunaan bahasa ibunda yang sama iaitu bahasa Jawa.
Sana sini kedengaran keriuhan hadirin menuturkan bahasa itu sambil bertepuk-tampar seperti mempunyai hubungan kekeluargaan yang erat.
Bagi mereka yang tidak berada dalam ruang lingkup masyarakat Jawa, pastinya keadaan itu dirasakan begitu asing tetapi tidak bagi mereka yang berdarah Jawa kerana bagi mereka, bahasa menyatukan mereka umpama bidalan bahasa menyatukan bangsa.
Suasana petang Sabtu itu di Riverstone PWTC diwarnai dengan rona coklat iaitu warna busana batik Jawa. Tetamu lelaki segak memakai kemeja batik Jawa berserta 'belankon' (songkok Jawa), manakala wanita pula ayu mengenakan baju kurang dan kebaya daripada tekstil yang sama.
"Beginilah keadaanya apabila setiap kali berkumpul. Mereka seperti satu keluarga bukan? Masyarakat Jawa memang begini, semangat kekeluargaannya kuat. Itu yang kita mahu terapkan kepada generasi muda Jawa moden sekarang.
"Perjumpaan seperti ini di bawah payaung Anak Jawa Malaysia (AJMAL) berperanan sebagai satu platform untuk anak-anak Jawa di Malaysia bersatu di bawah satu bumbung," kata Presiden Ajmal, Dr Mohd Ismail Maulut, 57.
Tambahnya, Ajmal bukan sahaja terbuka kepada anak-anak Jawa Malaysia sahaja, malah anak Malaysia yang tidak mempunyai darah Jawa juga dialu-alukan jika mereka berminat mengenal dan mempelajari budaya Jawa.
Ajmal yang mula ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2008 mempunyai pengikutnya sendiri, menganjurkan pelbagai aktiviti sosial bagi merapatkan
lagi hubungan anak-anak Jawa seperti jamuan hari raya, kenduri kahwin,
boling dan sebagainya.
"Buat masa ini lebih 8,000 orang memberikan respons melalui laman web sosial Facebook daripada anak Jawa di kampung sehinggalah golongan professional.
"Penggunaan media baru seperti Facebook membolehkan ahli-ahli Ajmal berhubung disamping mengalu-alukan penglibatan generasi baru sekali gus mengetengahkan budaya-budaya Jawa yang semakin luput," ujarnya.
"Buat masa ini lebih 8,000 orang memberikan respons melalui laman web sosial Facebook daripada anak Jawa di kampung sehinggalah golongan professional.
"Penggunaan media baru seperti Facebook membolehkan ahli-ahli Ajmal berhubung disamping mengalu-alukan penglibatan generasi baru sekali gus mengetengahkan budaya-budaya Jawa yang semakin luput," ujarnya.
Menurut Mohd Ismail, Ajmal ditubuhkan untuk menyegarkan ingatan
generasi muda mengenai tradisi orang Jawa seperti baraan (berziarah), balalan atau jaluk ngapuro, rewang, nasi ambeng dan sebagainya.
"Tradisi dan amalan-amalan sebegini perlu dikekalkan biarpun masyarakat Jawa kini sudah moden."
"Walaupun dalam dunia serba moden ini, Ajmal masih melakukan aktiviti kekeluargaan, mengadakan hari keluarga, aktiviti keagamaan dan tazkiran bagi merapatkan hubungan anak-anak Jawa yang kebanyakkannya dibesarkan dalam persekitaran dan latar belakang yang sama", jelasnya.
Kelas bahasa Jawa
Sementara itu Timbalan Presiden Ajmal, Sani Marlan, 53, memberitahu Ajmal dalam perancangan untuk mengadakan kelas bahasa Jawa kepada anak-anak Jawa.
"Kita tidak mahu bahasa Jawa yang penuh dengan nilai sopan dan kelembutan ini disisihkan oleh anak Jawa sendiri kerana terlalu terkejar-kejar menguasai bahasa Inggeris. Biarlah ia bergerak seiring.
"Satu sahaja yang saya mahu ingatkan kepada anak-anak Jawa di luar sana, jangan malu mengaku Jawa," katanya yang mengulas segelintir anak-anak Jawa malu untuk bertutur dalam bahasa tersebut dikhuatiri di cap sebagai pendatang asing.
Perjumpaan Ajmal pada hari tersebut diadakan bagi memberikan penghargaan kepada individu-individu yang banyak memimpin pertubuhan itu selain mendekatkan hubungan silaturahim sesama ahli.
Hadirin dijamu dengan pelbagai masakan Jawa seperti mi Jawa, nasi berlauk serunding kelapa, sambal tempe, dendeng daging, bubur sum-sum, pisang rebus yang dimakan bersama kelapa dan gula.
Mewakili suara generasi muda Jawa, Mustakim Tukiran, 19, berpendapat ibu bapa yang berketurunan Jawa perlu menggalakkan anak-anak mereka berkomunikasi dalam bahasa Jawa.
Mustakim yang berasal dari Sri Medan, Batu Pahat, Johor memberitahu pendedahan daripada ibu bapa sangat penting bagi membolehkan anak-anak mengetahui mengenai budaya, tradisi dan bahasa Jawa.
"Seperti saya, kebanyakan rakan-rakan saya adalah orang Jawa, jadi mahu tidak mahu saya kena jugalah bertutur dalam bahasa tersebut.
"Salah satu cara untuk anak-anak muda ini mempelajari bahasa Jawa adalah dengan mengadakan kelas bahasa dan mendedahkan mereka dalam komunikasi seharian," katanya yang menuntut di Kolej Bostonweb, Kuala Lumpur dalam Diploma Teknologi Maklumat.
Baginya tidak rugi jika mempelajari bahasa Jawa malah ia adalah satu kelebihan.
"Saya bangga kerana saya anak Jawa. Rugi kalau tak mengaku Jawa," ujarnya.
Bagi pembaca yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenal Ajmal, anda boleh melayari laman web http://www.ajmal.my/ dan facebook dengan menaip Anak-Anak Jawa Malaysia.
Masa terluang pada hujung minggu diisi dengan perjumpaan bersama ahli-ahli Ajmal
Wah, besh2..tapi aq patak iso lah ngomong jowo karo uwong tuek~
ReplyDeleteSaya Bulan; tak apa, kita ngomong podo saja dengan wong tuek dan wong nom.
ReplyDelete