NASI AMBENG ISTIMEWA

NASI AMBENG ISTIMEWA
HANYA DI RIVERSTONE ECO RESORT. Hutan Lipur Sungai Tua, Batu Caves, Selangor. 013-2080833, 03-92022672

Saturday, January 22, 2011

Lomografi cetusan seni tanpa suntingan


Lomografi cetusan seni tanpa suntingan

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
rekreasi@utusan.com.my
Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR

Setiap kamera lomo menghasilkan kesan khas yang berlainan dan mampu memberikan kepuasan yang tinggi kepada penggemar fotografi.
---------------------------------------------------------------------

KAMERA 'Lomo' mungkin dianggap sebagai gajet ketinggalan zaman oleh sesetengah orang memandangkan ia masih menggunakan filem.

Biarpun rupa kamera itu kelihatan seperti barang mainan dan tidak secanggih kamera digital masa kini, hasilnya yang dipanggil sebagai seni lomografi mampu memukau setiap yang memandang apatah lagi jika ia disusun memenuhi segenap ruang.

Ia merupakan suatu cabang seni fotografi yang menitik beratkan penggunaan kamera berbeza-beza untuk mendapatkan kesan khas yang berlainan.

Keunikan seni lomografi itu juga mampu dihasilkan tanpa sebarang bantuan perisian suntingan foto yang kebiasaannya digunakan oleh para pemilik kamera digital DSLR.

Apa yang menarik mengenainya, setiap foto yang diambil menerusi kanta lomo mampu menghasilkan kualiti yang setanding dengan kamera digital terkini dan hasilnya setelah diproses secara analog kelihatan seolah-olah telah diubah menggunakan perisian suntingan foto.

Itulah antara kelebihan yang terdapat pada seni lomografi yang berteraskan kepada prinsip bebas dalam merakamkan setiap gambar berbeza dengan seni fotografi yang lebih menekankan kepada aspek teknik dan teknikal yang perlu dipelajari terlebih dahulu.

Sehubung itu, fotografi digital boleh disifatkan tidak asli berbanding hasil seni lomografi yang memerlukan pengguna kamera lomo melakukan pelbagai eksperimen terlebih dahulu.

Sebaliknya fotografi digital lebih bergantung kepada perisian komputer untuk mencantikkan gambar yang telah dirakam.

Hasil seni yang tidak dapat dijangka

Berlandaskan peraturan utama iaitu 'jangan fikir, hanya petik' (don't think, just shoot), hasil seni lomografi tidak dapat dijangka namun ia mampu memberikan kepuasan yang tinggi kepada penggemar fotografi.

Baru-baru ini, penulis berpeluang untuk bertemu dengan komuniti penggemar lomografi tempatan yang dikenali dengan nama Lomokids.

Sejak ditubuhkan pada Jun 2006, melalui laman web jaringan sosial, Myspace.com sehingga ke Facebook, nama Lomokids semakin dikenali ramai.

Malah komuniti itu juga kini berjaya menarik penyertaan lebih 6,000 orang ahli dan semakin popular sehingga dikenali di kalangan penggemar lomografi dari Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Pengasas kepada komuniti tersebut, Mukhriz Abdul Latif, 28, berkata, pada mulanya, seni lomografi diperkenalkan oleh adiknya, Mohd. Idzwan.

Setelah melihat hasil yang diperoleh, dia mula tertarik dengan kesan dan keaslian gambar yang dihasilkan kamera lomo.

Beliau berkata, walaupun zaman ini boleh dikatakan sebagai era DSLR, beliau masih berbangga untuk menggunakan filem dan kamera lomo biarpun ia kelihatan agak pelik.

"Keunikan kamera lomografi selalu menjadi perhatian mereka yang tidak mengenali atau tidak pernah melihatnya kerana reka bentuknya yang kelihatan seperti barang mainan.

"Selain itu, keseronokan yang timbul apabila gambar yang dirakamkan menghasilkan foto yang tidak dijangka turut membuatkan saya teruja apabila melihatkan hasil yang diperoleh," katanya.

Menurut Mohd. Idzwan, 26, pula, sepanjang bergiat aktif dengan lomografi, beliau dapat rasakan bidang itu mampu membuatkan seseorang itu lebih kreatif dan berinovasi.

"Selain dapat meningkatkan kemahiran menggunakan pelbagai jenis kamera lomo, saya rasakan yang bidang ini juga banyak membantu saya dari segi kreativiti dan teknik fotografi yang lebih mendalam.

"Bidang ini memerlukan kesabaran yang tinggi selain minat yang mendalam untuk mendapatkan gambar yang cantik, bukan semudah menekan butang kamera saja," ujarnya.

Seorang lagi ahli Lomokids, Faizal Rahim, 26, berkata, setiap kamera lomo menghasilkan kesan khas yang berbeza-beza mengikut jenis kamera yang digunakan.

"Sebagai contoh, kamera lomo jenis Super Sampler yang memiliki empat kanta mampu merakamkan empat pergerakan dalam satu masa.

"Kesan khas ini juga terdapat pada kamera lomo jenis Fish Eye yang memberikan kesan khas yang berlainan manakala Frog Eye pula mampu merakam gambar di dalam air tanpa bantuan sebarang pelindung tambahan," jelasnya.

Rakannya, Azizah Abdul Latif, 29, pula berkata, bagi mendapatkan hasil yang lebih menarik, penggunaan filem lama mampu memberikan kesan yang lebih mengagumkan.

"Kebiasaannya penggunaan negatif filem lama yang disimpan mampu memberikan kesan khas yang lebih menarik lebih-lebih lagi jika ia ditambah dengan teknik lomografi seperti double exposure (kesan khas dua gambar disatukan) dan lain-lain.

"Walaupun filem itu boleh dikategorikan sebagai filem yang telah luput, ia masih boleh digunakan untuk meningkatkan lagi kesan khas dan bagi mendapatkan hasil yang terbaik sekurang-kurangnya paling lama filem itu perlu disimpan selama empat tahun," katanya.

Mohd. Faisal Aziz, 23, berkata, bagi mendapatkan kesan warna yang lebih menarik, cross process digunapakai untuk mencuci filem yang telah digunakan.

"Cross process menggunakan bahan kimia negatif mampu menaikkan lagi tona warna setiap gambar yang telah diproses dan hasilnya gambar tersebut lebih berkualiti," ujarnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai seni lomografi sila layari laman web http://www.lomokids.com/.
-
-
-

No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan komentar anda"