NASI AMBENG ISTIMEWA

NASI AMBENG ISTIMEWA
HANYA DI RIVERSTONE ECO RESORT. Hutan Lipur Sungai Tua, Batu Caves, Selangor. 013-2080833, 03-92022672

Monday, June 21, 2010

Sejarah Kampung Selabak



Kampung Selabak....Kampung Ku, terletak 4 kilometer dari Bandar Teluk Intan iaitu di Jalan Changkat Jong. Di huni oleh seramai 6 ribu orang penduduk dan terdiri dari beberapa suku kaum seperti Jawa, Banjar, Siam, Cina dan India. Suka Jawa menguasai 70% jumlah penduduk di sini.

Menurut cerita penduduk tua di kampung ini, Kampung ini telah dibuka sekitar tahun 1912 dan kampung ini dikenali sebagai Tebuk Jagus. Ia dibuka oleh sekumpulan pekerja-pekerja Ladang Selaba iaitu ladang getah yang bersempadan dengan kampung ini. Pada tahun 1917 nama kampung ini telah ditukar kepada Kampung Selabak bersempena dengan nama Ladang Selaba tersebut yang juga merupakan tempat kebanyakkan penduduk kampung ini bekerja.

Pertanian merupakan hasil utama Kampung Selabak. Nenas dan Kampung Selabak merupakan gandingan yang tidak dapat dipisahkan. Nenas dari kampung ini terkenal dengan rasanya yang manis dan keharuman baunya. Hasil pertanian lain pula adalah seperti, rambutan, cempedak, nangka dan durian yang juga merupakan antara tanaman yang diusahakan di sini.


Dari awal penubuhannya sehingga kini Kampung Selabak mempunyai seramai 9 orang Ketua Kampung. Perlantikan pertama Ketua Kampung telah diadalah pada tahun 1920.

Berikut merupakan senarai Ketua Kampung Selabak dari tahun 1920 sehingga kini.

1. 1920 Allahyarham Tn Hj Hassan

2. 1925 Allahyarham Ariffin Hassan. Merupakan anak kepada Tn Hj Hassan.

3. 1933 Allahyarham Asbollah Ibrahim

4. 1938 Allahyarham Hj Mohd Rafie Sumo. Hj Mohd Rafie merupakan datuk kepada penulis.

5. 1958 Allahyarham Hj Ahmad Sidek Bin Hj. Asiff.

6. 1962 Allahyarham Hj Husin Hj Rafie. Beliau merupakan anak kepada Hj Mohd Rafie.

7. 1998 Hj Mohd Zin Yunus.

8. 2009 Hj Khiruddin Hj Abd Hamid.

9. 2010 Hj Mohd Zin Yunus.

Seperti juga kampung-kampung lain, Kampung Selabak terus maju dan makmur. Pertambahan penduduk membuatkan pelbagai keperluan asas dan kemudahan diwujudkan di sini. Oleh kerana 90% penduduk Kampung Selabak adalah beragama Islam, maka masjid perlu didirikan di sini.

Masjid pertama di kampung ini telah didirikan pada tahun 1926. Seterusnya masjid ini telah melalui beberapa siri baik pulih sebelum sebuah lagi masjid yang lebih besar didirikan sekitar tahun 1960an dan telah dirasmikan oleh DYMM Seri Sultan Perak.

Manakala sekolah pertama di kampung Selabak pula dibina pada tahun 1948 dan dikenali sebagai Sekolah Umum Selabak. Allahyarham Cikgu Ngah b Mohd Sarif merupakan Guru Besar pertama sekolah ini.


Lirik lagu Sekolah Umum Kampung Selabak.

Hidup Agama

Hidup Bangsaku

Hidup Pemuda

Di majlis Ilmu

Jaamatundiniah kekal dan maju

Mudah-mudahan Allah membantu.

Madrasah Atarbiatudiniah telah dibuka pada tahun 1955, merupakan Sekolah Agama pertama di Kampung Selabak.

Selaras dengan peredaran masa, Kampung Selabak turut merasai demam A-Go-Go dan Pop-Yeh-Yeh, pada tahun 1963 Kumpulan Kugiran, Pemuda Ria Kampung Selabak telah ditubuhkan. Dengan tertubuhnya Pemuda Ria Kampung Selabak, kugiran yang dianggotai oleh anak-anak muda kampung ini, menjadi tarikan dan sering menyerikan majlis-majlis keraian kampung-kampung berhampiran.

Pada awal tahun 1960an, Sekolah Kebangsaan Selabak telah didirikan untuk menggantikan sekolah lama yang telah uzur. Sekitar tahun 1960an ini jugalah didirikan Kelinik Desa dan Dewan Orang Ramai di Kampung Selabak. Penganjuran majlis juga mula mengambil tempat di Kampung ini apabila Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran pertama telah diadakan sekitar tahun 1960an juga.

Membawa kepada awal tahun 1970an, aktiviti sukan dan rekreasi mula mengambil tempat di kalangan muda-mudi kampung. Barisan pemudi kampung telah menubuhkan pasukan bola jaring dan pernah menjadi juara peringkat daerah. Antara perlawanan yang pernah diadakan di sini adalah perlawanan dengan pasukan bolajaring dari Ayer Hitam.

Pada tahun 1975, bermulalah era penanaman Kelapa Sawit bagi menggantikan tanaman Nenas di Kampung Selabak. Kebanyakkan penduduk kampung mulai menggantikan tanaman Nenas kepada tanaman Kelapa Sawit.


Menuju era 1980an sehingga kini, Kampung Selabak kian cemerlang. Kian ramai anak Kampung Selabak meraih kejayaan yang menjadi kebanggaan orang kampung. Ramai anak kampung yang namanya meniti bibir setiap warga Kampung Selabak bila berkumpul semasa 'medang'.

Bahan-bahan dan gambar untuk artikel Kg Selabak - Kampung Ku ini merupakan dari koleksi peribadi anak Kampung Selabak - Mohamed Ashari Sidik (Pemilik Riverstone Eco Resort). Beliau telah mula mengumpul maklumat dan gambar-gambar mengenai Kampung Selabak sejak dari tahun 1989. Beliau juga pernah membuat pameran solo, Pameran Fotografi Sejarah Kampung Selabak di Sekolah Kebangsaan Selabak pada tahun 1989.

Pada tahun 1995, sekali lagi beliau telah membuat pameran solo, Pameran Fotografi Sejarah Kampung Selabak di Sekolah Kebangsaan Selabak.

Peristiwa silam muda mudi,

Jadi kenangan hingga kini,

Potret dipamer mengimbau memori,

Kisah indah dalam diari.



2 comments:

"Sila tinggalkan komentar anda"