Disebabkan sikap suami yang mengabaikan tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak, seorang isteri telah menamakan rumah dan tanah yang dibeli dengan hasil titik peluhnya kepada anak-anaknya. Adakah harta-harta yang dinamakan kepada anak-anaknya itu menjadi harta sepencarian kepada pasangan suami/isteri tersebut sekiranya berlaku perpisahan?
Jawapan :
Berdasarkan Seksyen 122 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 (EUKIS 2003), ia sesuatu yang diputuskan oleh pihak mahkamah yang menetapkan : Mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat sesuatu perintah perceraian untuk memerintah supaya aset yang diperoleh pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak-pihak itu.
Kemudian Seksyen 122 (2) menjelaskan, pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), mahkamah hendaklah mengambil perhatian mengenai :
o Takat sumbangan yang dibuat tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh aset itu,
o Apa-apa yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka,
o Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu jika ada,
Tertakluk kepada Seksyen 122 (2) mahkamah hendaklah membuat pertimbangan sama banyak. Namun, mahkamah juga boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan sama rata antara kedua pihak sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 122 (3).
Namun dalam kes puan, pertama, kenyataan puan tentang pengabaian tanggungjawab oleh pihak suami menafikan adanya unsur-unsur 'usaha bersama' yang menjadi syarat ia dinamakan 'harta sepencarian'. Kedua, puan mendapatkannya 100 peratus daripada titik peluh puan sendiri. Ketiga, puan telah 'memberikan' harta-harta itu kepada anak-anak dengan menamakan mereka sebagai pemilik harta-harta tersebut secara sah dan terang-terangan. Ia kedengaran lebih kepada konsep hibah maka ia terkeluar daripada kategori 'harta sepencarian'.
Soalan 2 :
Apa hukumnya bermalam di rumah saudara sesama Muslim yang memelihara anjing dalam dan di luar rumah.
gambar hanya hiasan
Jawapan :
Hukum bermalam itu harus manakala mengenai masalah tersentuh anjing- anjing itu pula terbahagi kepada 2;
- Pertama: Sekiranya bersentuh dengan anjing dalam keadaan kering (iaitu kedua-dua tangan penyentuh dan bulu anjing adalah kering), maka ia tidak menjadikan tangannya bernajis.
Kedua: Namun sekiranya tidak dapat mengelak tersentuh anjing-anjing tersebut dalam keadaan basah atau lembap (iaitu sama ada kedua-dua tangan penyentuh dan bulu anjing adalah basah atau lembap atau salah satu daripadanya), maka ia menjadikan tangan bernajis sama ada sengaja menyentuh atau tidak sengaja tersentuh.
Tangan yang bernajis itu wajib disucikan dengan menyamak iaitu dengan membasuhnya tujuh kali dengan air mutlak, kali pertama daripadanya bercampur dengan tanah yang suci seperti yang ajar oleh Nabi dalam satu hadis yang bermaksud : Dari Abu Hurairah r.a katanya : Bersabda Rasulullah s.a.w : Membersihkan bejana yang dijilat anjing itu adalah dengan membasuhnya (dengan air mutlak) sebanyak tujuh kali dan basuhan yang pertama mestilah bercampur dengan tanah (yang suci). (riwayat muslim).
Soalan 3 :
Saya ada seorang rakan yang bukan Islam. Dia pernah memberitahu saya bahawa dia mempunyai seorang pakcik yang mengusahakan kebun sayur secara organik (tanpa racun serangga/pestisid) dan dia pernah memberitahu saya pakciknya kadang kala menggunakan baja (najis haiwan) daripada sumber haiwan yang haram dimakan oleh orang Islam.
Apakah hukum memakan sayuran atau tanaman tersebut kerana katanya dia berasa serba salah melihat ada pelanggan daripada orang Melayu yag membeli sayuran tersebut?
Jawapan :
Persoalan seumpama ini telah dibincang dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke 2 pada 12 Mei 1981 yang memutuskan bahawa baja yang diperbuat daripada tahi babi adalah najis mughalazah, sementara hukum menggunakannya sebagai baja adalah harus serta makruh. Hasil tanaman yang terhasil daripadanya harus dimakan kerana ia telah berubah kepada bentuk zat nutrien kepada pokok tersebut seperti berubahnya arak daripada nira kelapa kepada bentuk tuak dan tidak lagi memabukkan. Walau bagaimanapun seelok-eloknya dielakkan jika kita ketahui perkara tersebut. Namun Allah SWT tidak mengambil kira perkara-perkara yang tidak kita ketahui.
Tajuk-Tajuk Berita Lain :
- Tip Cemerlang Bahasa Arab
- Banjir Besar
- Takutlah Kepada Kuasa Allah
- Malaysian Mosques direktori Masjid
- Harta Selepas Perceraian
- 'Teksi Zakat' bantu Hashim
- Remaja dan erti cinta
Klik pada tajuk di atas. Harta selepas perceraian
No comments:
Post a Comment
"Sila tinggalkan komentar anda"