Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR
PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.
IBADAH puasa di bulan Ramadan merupakan salah satu tunjang utama dalam rukun Islam dan semua umat Islam tidak kira usia perlu sedar kewajipan untuk menunaikannya termasuklah anak-anak kecil.
Walaupun kanak-kanak masih belum mukallaf iaitu diwajibkan melaksanakan syariat, namun alim ulama menyebutkan bahawa ibadah berpuasa oleh mereka adalah dianggap sebagai suatu bentuk latihan yang baik untuk keperibadian mereka sebagai Muslim yang unggul.
Menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan bahawa anak-anak seawal usia empat atau lima tahun belajar untuk menghayati kelebihan berpuasa di bulan Ramadan ini.
Sekurang-kurangnya, anak-anak sekecil ini diajar tentang 'roh' Ramadan itu sendiri, dengan cara mendidik untuk menghormati orang-orang lain yang sedang berpuasa.
Seterusnya, untuk melatih anak-anak berpuasa perlulah dimulakan secara berperingkat-peringkat. Turuti tahap kemampuan mereka seadanya seperti puasa setengah hari atau sekadar beberapa jam, atau hanya beberapa hari sepanjang bulan Ramadan.
Unsur ganjaran juga boleh dipraktikkan di kalangan anak-anak sebagai elemen penggalak untuk mereka berpuasa. Misalannya menyediakan masakan kegemaran mereka untuk berbuka dan bersahur, pujian, memberikan hadiah, atau sejumlah 'duit raya' jika mereka berjaya melaksanakan ibadah puasa mengikut kemampuan masing-masing.
Latihan menahan nafsu makan dan minum di siang hari serta memperbanyakkan amalan mulia adalah sangat besar kesannya apabila anak-anak ini meningkat dewasa kelak.
Mereka tidak akan berat untuk melaksanakan bukan sahaja amalan berpuasa bahkan ibadah fardu yang lain seperti solat, zakat dan sebagainya.
Begitu juga jiwa mereka akan terdidik untuk memperbanyakkan juga ibadah sampingan yang melengkapkan diri menjadi manusia yang soleh dan solehah.
Anak-anak juga tidak seharusnya dibiarkan terlalu leka menonton televisyen, bermain permainan komputer, atau membuat aktiviti yang tidak berfaedah.
Sebaliknya mereka perlu dibimbing untuk menambahkan amal ibadah yang dijanjikan ganjaran yang sangat besar oleh Allah Taala.
Ibu bapa boleh menceritakan kepada anak-anak apa perlunya berpuasa daripada konteks agama dan kesihatan agar mereka faham bahawa berpuasa adalah suatu amalan yang sangat besar kesan positifnya.
Anak-anak perlu dilatih dengan rukun dan pantang larang ketika berpuasa supaya mereka bijak memelihara kesempurnaan puasa mereka. Dalam bulan Ramadan ini juga, mereka boleh diajak untuk menunaikan solat fardu dan solat Tarawih secara berjemaah sama ada di rumah atau di masjid dan juga bertadarus al-Quran bersama-sama.
Anak-anak juga boleh diasuh untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama keluarga, jiran dan masyarakat dengan menganjurkan majlis berbuka puasa, berziarah dan bersedekah.
Jika kaedah-kaedah yang disarankan ini dapat dipraktikkan kepada anak-anak sepanjang bulan Ramadan ini diharap bahawa mereka akan dapat menjadi bukan sahaja umat Islam yang diredai-Nya, bahkan menjadi insan yang sempurna akhlak dan keperibadian mereka.
Monday, August 1, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
"Sila tinggalkan komentar anda"