Percutianku oleh Hamidah Asararuddin
Melancong ke Perth seolah-olah berada di negara sendiri kerana berpeluang menikmati kulinari Malaysia, berkesempatan bertemu penduduknya yang terdiri daripada masyarakat Melayu Cocos yang fasih berbahasa Melayu dan Indonesia.
PENULIS (bertudung coklat) bergambar kenangan bersama rakan dan keluarga di hadapan kandang beruang koala di Caversham Wildlife Park.
KESIBUKAN menguruskan perniagaan sememangnya meletihkan. Justeru, tidak hairanlah, jika mempunyai kelapangan saya gemar membawa keluarga bercuti sama ada di dalam atau luar negara.
Kali ini, Perth, Australia menjadi destinasi pilihan. Percutian kali ini mengambil masa enam hari bermula dari 28 November hingga 3 Disember lalu.
Kami bertolak dari Kuala Lumpur menjelang tengah malam dan tiba di Perth sekitar pukul 5.15 pagi. Biarpun matahari mula meninggi, cuaca di bandar raya itu tetap sejuk dan berangin.
“Apa khabar orang Malaysia. Selamat datang ke Perth. Semoga bergembira sepanjang berada di sini nanti,” sapa Datin Hamidah Hamid yang menyambut ketibaan kami di lapangan terbang.
Kami kemudiannya dibawa ke sebuah homestay yang terletak di Landsdale, kira-kira 30 minit dari lapangan terbang Perth.
Tuan rumah, Dak Long, anak kelahiran Melaka dan telah menetap lebih 30 tahun di Perth serta suaminya, Zul, rakyat Singapura menyambut ketibaan kami.
Selepas menikmati sarapan, kami berehat seketika kerana sesi lawatan hanya bermula sekitar pukul 2 petang.
Destinasi pertama ialah Caversham Wildlife Park. Peluang yang ada digunakan untuk bermesra dengan haiwan jinak yang menjadi kebanggaan rakyat Australia, kanggaru dan beruang koala serta beberapa haiwan lain seperti wombat dan wallaby.
Kami juga berkesempatan ke Tumbulgum Animal Show. Di sana kami sempat menyaksikan teknik mengetam bulu kambing biri-biri pengasingan kualiti bulunya dan pertunjukan haiwan.
Matahari terbenam
Seterusnya, kami dibawa untuk menyaksikan sukan luncur layang-layang di pantai Marmion Marine Park.
Berbeza dengan permainan layang-layang yang lazim disaksikan di Malaysia, layang-layang di sini diterbangkan sambil pengendalinya meluncur di atas papan luncur air.
Perjalanan kami diteruskan ke Hillary Boat Harbour dan Sorrento Quay sebelum ke North Beach dan Scarborough Beach untuk melihat pemandangan matahari terbenam. Kami juga berkesempatan untuk menyaksikan pemandangan bandar Perth pada waktu malam dari Kings Park.
PEMANDANGAN Perth pada waktu malam yang indah.
Sebelum pulang, kami sempat singgah ke Tina’s Kitchen untuk menikmati makan malam. Pemiliknya, Kartina merupakan rakyat Singapura yang telah hampir 20 tahun menetap di Perth.
Dalam perjalanan, kami berhenti seketika di Esplanade di selatan Perth untuk melihat indahnya Perth pada waktu malam dari seberang Sungai Swan.
Destinasi kami seterusnya ialah Geraldton yang terletak kira-kira 500 kilometer (km) dari Perth. Kami turut disertai Pak Ali, tukang urut terkenal yang menetap lebih 35 tahun di Perth. Kami singgah di Yanchep National Park yang popular dengan taman dan keunikan guanya yang berusia ratusan tahun. Bagaimanapun, kekangan masa menyebabkan kami hanya berkesempatan melihat kanggaru dan koala liar yang berkejaran di sekitarnya.
Seterusnya kami ke pantai Lancelin, yang terkenal dengan aktiviti sukan air. Kami sempat berkelah dengan bekalan makanan yang disediakan oleh isteri Pak Ali. Menikmati nasi putih, kari kambing, ayam goreng dan sambal sotong sambil dihembus bayu pantai membuatkan kami seolah-olah berada di Malaysia.
Jika mencuba aktiviti luncur pasir, Lancelin San Dunes adalah tempatnya. Kami begitu bersemangat untuk mencubanya, apatah lagi lokasi itu sangat popular dalam kalangan peminat luncur pasir di Australia.
Namun, cuaca panas terik menjadi penghalang, malah anak-anak saya juga ‘angkat tangan’ kerana tidak selesa berada lama di padang pasir yang tandus itu.
Dari Lancelin kami kemudiannya ke Pinnacle Desert yang terletak di Nambung National Park.
Ia merupakan kawasan bonjolan berbatu yang terbentuk lebih 25,000 tahun dahulu.
Lebuh raya tepi laut
Pemandangan lautan Pinnacles dengan pelbagai bentuk dan saiz memang amat menarik. Bagaimanapun, cuaca panas dan kehadiran lalat yang banyak ternyata sedikit mengganggu tatkala meninjau seluruh kawasan itu.
Perjalanan ke Geraldton melalui lebuh raya tepi laut dengan pemandangan hutan renek dan bunga-bunga liar gurun sememangnya cukup indah dan sukar diungkapkan dengan kata-kata.
PELUANG membeli-belah di Hay Street satu pengalaman yang mengujakan.
--------------------------------------------------------------------------------------
Saya sendiri tidak sanggup melelapkan mata biarpun agak mengantuk, lebih-lebih lagi apabila diberitahu kemungkinan besar akan bertemu kanggaru liar berlari-lari sepanjang perjalanan itu.
Kami kemudiannya tiba di Comfort Inn, Geraldton hampir pukul 6 petang. Saya diberitahu, pada malam itu kami akan berkunjung ke rumah Pak Adiman, seorang Melayu Cocos yang berasal dari Pulau Krismas.
Pak Adiman dan saudara-maranya menyambut ketibaan kami dengan penuh mesra. Malah, kami dijamu dengan pelbagai hidangan enak seperti nasi kuning, ayam panggang dan siput gonggong yang merupakan makanan tradisi orang Melayu Cocos.
Biarpun berada jauh dari Malaysia, namun budaya Melayu masih tersemat pada keluarga ini.
Perjalanan kami ke New Norcia bermula seawal pukul 9 pagi. Dalam perjalanan, kami singgah seketika di Pekan Geraldton untuk solat Zohor.
Masjid Geraldton satu-satunya masjid yang ada dan diuruskan oleh masyarakat Melayu Cocos yang telah lama bermastautin di sini. Menariknya, rata-rata masyarakat Melayunya fasih berbahasa Melayu. Kesempatan yang ada juga diambil untuk bertemu dengan imam dan bilal masjid yang sering ke Malaysia untuk menghadiri pelbagai persidangan berkaitan Islam.
Sepanjang perjalanan ke New Norcia, kami disajikan dengan panorama padang rumput, ladang gandum, ladang lembu dan kambing biri-biri. Perasaan teruja menyebabkan perjalanan kami terhenti beberapa kali semata-mata untuk bergambar.
Kami tiba di New Norcia lebih kurang pukul 6 petang. Diceritakan, bandar itu merupakan penempatan pertama orang British di Australia yang dibuka pada tahun 1847. Secara keseluruhan, terdapat 27 buah bangunan bercirikan seni bina Eropah di situ dan masih digunakan sehingga kini.
Seterusnya, pengembaraan kami diteruskan menuju ke Lower Chittering ke kediaman Hawa, warganegara Malaysia yang sudah 30 tahun menetap di situ.
Dia dan suaminya, warganegara Belgium, Abang Aziz Leno mengusahakan tanaman sayur dan bunga ros berhampiran kediaman mereka.
Perut yang lapar membuatkan kami cukup berselera menikmati hidangan masak lemak pucuk ranti, sambal terung rembang, ikan keli goreng, rendang daging, ayam kicap, ikan masin bulu ayam dan sambal belacan. Tidak cukup dengan itu, terdapat kuih seri muka, pelbagai kek dan muffin sebagai pencuci mulut.
GERALDTON terletak kira-kira 500 kilometer dari Perth.--------------------------------------------------------------------------------
Ketika jam sudah menunjukkan pukul 11 malam, kami akhirnya beredar meninggalkan Lower Chittering menuju ke homestay di Perth.
Beli-belah
Kami meninggalkan Landsdale dan memilih untuk bermalam di rumah Datin Hamidah di East Victoria Park.
Perjalanan dimulakan dengan menaiki feri di jeti St. Barrack menuju ke Fremantle yang mengambil masa satu jam menyusuri Sungai Swan. Sepanjang pelayaran, kami dapat melihat deretan rumah-rumah mewah milik penduduk tempatan dan orang asing.
Selepas menikmati makan tengah hari di Kailis, sebuah restoran Barat yang popular di situ, kami seterusnya ke E Shed Markets yang popular dengan pelbagai barangan cenderamata. Kebetulan, ketika itu musim cuti semester menyebabkan ramai pelajar Malaysia mengambil peluang bekerja di situ. Umpama membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur segala urusan jual beli dilakukan dalam bahasa Melayu dan Indonesia.
Selesai membeli-belah kami ke Kings Park untuk menikmati keindahan Perth dari Tree Top Walkway. Seterusnya kami membeli-belah di sekitar Harbour Town Factory, Street Mall dan London Court.
London Court agak istimewa berbanding tempat-tempat lain kerana ia dibina mengikut reka bentuk London Court sebenar di Hay Street, London dan replika Big Ben.
Kunjungan ke Perth seakan-akan tidak lengkap jika tidak ke Zoo Perth. Selepas hampir dua jam di zoo tersebut, kami bertolak pulang ke lapangan terbang.
KOALA Liar salah satu haiwan yang paling banyak dapat dilihat di Yanchep National Park.
Lancelin San Dunes lokasi ini sangat popular kalangan peminat luncur pasir
Bersama keluarga melayu Cocos. Pak Diman