Pepino - Solanum Muricatum Aiton.
Juga dikenali sebagai mellowfruit, pepino melon dan treemelon. Merupakan sebahagian dari famili terung dan berbentuk mirip seperti terung. Mempunyai banyak biji kecil dengan sedikit rasa masam dan manis dengan aroma dan rasa seperti melon. Merupakan buah yang kaya dengan antioksidan, serat dan sumber betakaroten yang mampu melawan kanser, stroke, hipertensi dan diabetes, gastrik, sembelit, buasir dan menurunkan kadar kolesterol darah. Pepino juga kaya dengan Vitamin C dan B kompleks. Buah pepino berwarna hijau dengan corak garisan coklat semasa muda dan bertukar kekuningan bila masak.
Merupakan tumbuhan asal dari Colombia, Peru dan Chile. Mula ditanam di Indonesia sejak zaman penjajahan Belanda. Hanya Chile dan New Zealand menjadikan buah ini sebagai tanaman komersial.
Keseluruhan buah boleh dimakan dalam bentuk segar, dijadikan salad, dimasukkan di dalam masakan dan jus.
Mudah ditanam di kawasan bersuhu rendah atau di kawasan-kawasan dataran tinggi.
Pokok dan buah pepino yang belum masak
Penulis amat tertarik dengan buah ini yang banyak dijual di Pasar Buah di Pekan Berastagi, Medan, Indonesia semasa berkunjung ke sana baru-baru ini. Masyarakat tempatan memakannya dalam bentuk segar dan menjadikannya sebagai jus.
Malangnya penulis tidak berkesempatan untuk menikmati jus buah ini malahan kerana keghairahan membeli buah avocado, dan pisang kaki, sehinggakan terlupa untuk membeli buah ini.