Thursday, January 21, 2016

Dari Dapur Riverstone Eco Resort



PERIA....Pelbagai sajian dari Peria



Ramai yang tak suka dan ramai juga yang suka Peria ni. Banyak khasiatnya, selain dijadikan sajian peria juga digunakan untuk ubatan dan jus minuman.

Kami menanamnya berhampiran resort....hasilnya pun boleh tahan banyak. Oleh kerana dah banyak maka pelbagai sajian dibuat darinya.....






Peria segar dari Kebun


Peria Goreng Dengan Telur


Cara-caranya :

1 biji peria di belah dua. Buang bijinya dan dipotong nipis.
1 sudu udang kering
1 biji telur
2 ulas bawang putih
1 ulas bawang merah
4 tangkai cili kering
garam dan gula

Cili, udang kering, bawang putih dan merah dimesin kasar, dan ditumis dengan
sedikit minyak, masukkan peria, tambahkan garam secukup rasa dan secubit gula.
Bila peria sudah agak empuk pecahkan telur dan kacau sebati....hidangkan.



Peria Masak Lemak Cili Api dengan Daging Salai


Cara-caranya :

1/2 kilo daging dipotong nipis
1 biji peria
1 cawan santan pekat
10 tangkai cili api
4 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
1 helai daun kunyit
2 batang serai
1 sudu tea serbuk kunyit
sedikit minyak utk menumis

Bersihkan daging, perap dengan 1 sudu besar gula, 1/2 sudu tea garam, 1/2 sudu tea
serbuk kunyit. (Biasanya saya akan perap awal pagi dan salai menjelang tengah hari)
Salaikan daging sama ada diatas kuali atau oven
Peria di belah dua, potong 2 inci panjang dan dipotong menegak saiz jari kelingking
Cili api, bawang putih dan bawang merah ditumbuk halus
Tumiskan bahan-bahan ditumbuk tadi
Masukkan serbuk kunyit, serai dan daun kunyit
Masukkan daging yang telah disalai
Masukkan peria
Masukkan santan, gula dan garam
Tambahkan air sekiranya perlu
Didihkan sehingga peria masak
Hidangkan bersama nasi putih dan ikan masin.....


Peria Masak Lemak Cili api dengan Telur Ikan





Cara-caranya :

Untuk hidangan ini caranya sama dengan masak lemak cili api dengan daging salai. Cuma saya
tambahkan 1 inci halia dititik untuk menghilangkan hanyir telur ikan.
Saya belah telur ikan supaya mudah masak isinya.
Ada juga yang merebusnya terlebih dahulu.


Ikan Kembong Masak Kencur Dengan Peria



Ini agak berlainan. Masakan dengan kencur atau cekur adalah masakan istimewa orang jawa.
Ikan yang sering dimasak kencur adalah ikan keli dan ikan pari atau pun ayam.
Kali ini saya gunakan ikan kembong untuk masak cekur dan ditambah pula dengan peria.
Enak, penuh khasiat dari kencur @ cekur dan juga peria.

Cara-caranya :

2 ekor ikan kembong sederhana besar
1 biji peria
15 tangkai cili api
4 ulas bawang putih
1 inci belacan
15 ketul isi cekur
1 keping asam jawa
1 cawan santan pekat

Ikan kembong dibersihkan dan digoreng sederhana garing.
Peria dibelah dua dan dipotong 2 inci menegak sebesar jari
Cili api, bawang putih dan belacan ditumbuk
Cekur ditumbuk berasingan.
Tumis bahan-bahan ditumbuk tadi
Masukkan santan dan asam keping
Masukkan peria dan ikan
Tambahkan air jika perlu
Didihkan sehingga peria masak
Tambah garam dan gula secukup rasa

Selamat mencuba.

Salam kasih sayang dari Kak Midah @ Dari Dapur Riverstone Eco Resort






No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan komentar anda"