Friday, August 5, 2011

Nasi ambeng juadah berbuka



UTUSAN MALAYSIA JUMAAT 5 OGOS 2011

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my



Pengunjung boleh menikmati pelbagai sajian kampung ketika berbuka puasa di D'River Cafe,Riverstone Eco Resort.



JIKA kita membesar dengan hidangan masakan kampung untuk berbuka puasa, pasti kedatangan Ramadan menggamit untuk pulang ke kampung.

Namun, dalam kesibukan bekerja peluang untuk pulang ke kampung tentu sukar.

Tetapi bagi mereka yang ingin menikmati cita rasa ala kampung terdapat banyak restoran yang menyajikannya yang boleh dijadikan persinggahan untuk berbuka puasa.

Tidak terkecuali D'River Cafe, Riverstone Eco Resort (RER) yang meneruskan tradisi menyajikan aneka masakan kampung untuk Ramadan.

Masakan patin tempoyak misalnya merupakan yang begitu popular dari dapur RER.

Dengan konsep santai dan selesa, pengunjung pasti teruja berbuka puasa di ruang kafe terbuka sambil bertemankan bayu senja menyegarkan.

Tanpa pendingin hawa, mahupun kipas angin, pengunjung bakal disapa bayu segar dari belantara dan tasik berdekatan.

Pengurus Besar RER, Hamidah Asararuddin berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, sajian bufet Ramadan tahun ini berkonsepkan masakan kampung dengan satu hidangan baru diperkenalkan iaitu nasi ambeng.

"Menu yang sudah popular seperti patin tempoyak, kami kekalkan dan menu baru kami perkenalkan bagi memberi kelainan Ramadan tahun ini.

"Saya jangka menu baru ini bakal mendapat sambutan terutama daripada orang Jawa yang mahu menikmati nasi ambeng seperti yang disajikan pada majlis kenduri di kampung mereka," katanya.

Walaupun Nasi ambeng yang dihidangkan itu secara bufet iaitu tidak di dalam dulang seperti kebiasaannya, rasa asli masakan itu tetap sama.

"Set nasi ambeng ini terdiri daripada ayam masak kicap kidul, sambal goreng wetan, serunding kelapa lhor, mi goreng kulon dan sayur kacang njero. Saya sendiri yang menyediakannya," ujarnya yang mementingkan kualiti rasa setiap masakan yang dihidangkan.

Bagi mengekalkan warisan keturunan Jawa daripada keluarganya, Hamidah turut menamakan sajian dengan ciri-ciri masyarakat Jawa, misalnya Pecel Mbah Wedok yang mengandungi kuah kacang, tauge, kacang panjang, tauhu, kangkung, timun dan sengkuang; Daging Semur Mbah Lanang dan Ayam Panggang Wak Kenny.

"Saya sengaja menggunakan perkataan-perkataan Jawa itu bagi menunjukkan satu kelainan pada bufet Ramadan tahun ini," ujarnya.

Bagi hidangan pembuka selera pula, beliau yang berasal dari Teluk Intan, Perak, menyajikan laksa Teluk Intan.

"Laksa ini tidak sama seperti yang biasa kita makan. Laksa di sana (Teluk Intan) banyak menerima pengaruh masyarakat Cina," katanya yang memilih laksa beras.

Menu lain yang bakal menanti pengunjung adalah ikan masak asam pedas, kerabu telur dan tauge, kerabu daun silom dan taugeh, acar timun dan nanas, tempe goreng dengan bawang putih, ikan masin, ulam serta sambal tempoyak dan sambal belacan.

"Tidak lengkap bufet Ramadan tanpa manisan penyudah hidangan seperti bubur pulut hitam, kolak pisang, kuih muih tempatan, kek, buah-buahan segar, serta minuman panas dan sejuk termasuk ABC," tambahnya.


.INFO

  • D'River Cafe, Riverstone Eco Resort
  • Hutan Lipur Sungai Tua, Jalan Sungai Tua,
  • Batu Caves, 68100 Selangor.
  • Bufet Ramadan sehingga 29 Ramadan
  • 1432 Hijrah
  • Istimewa:
  • - Isnin - Khamis, Kambing Panggang
  • - Jumaat- Ahad, Minuman Wedang Serey
  • (minuman herba daripada serai, halia,
  • kayu manis, gula melaka)
  • Harga Dewasa (RM40.00 bersih)
  • Harga kanak-kanak (4-12 tahun RM20.00 bersih)
  • Untuk tempahan, hubungi talian 03-92004181 atau 013-2080833


.

  • .

No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan komentar anda"