Thursday, January 6, 2011

Kem Ibadah di KVN

Para peserta Kem Ibadah bergambar bersama ibu masing-masing pada penutup kem tersebut di Melbourne, Australia, baru-baru ini.
--------------------------------------------------------------------------------


MUSIM cuti sekolah di Melbourne, Australia adalah pada 17 Disember 2010 hingga akhir Januari 2011. Bagi rakyat Malaysia yang berada di sini, masa lapang itu pastinya tidak mahu disia-siakan begitu sahaja.

Justeru, antara aktiviti yang mendapat sambutan pada musim cuti sekolah di kalangan warga Malaysia di sini adalah Kem Ibadah.

Ia telah dianjurkan oleh kumpulan pelajar ijazah doktor falsafah (Ph.D) di utara Melbourne dikenali dengan jolokan Kampung Vic North (KVN) pada 23 hingga 24 Disember 2010.

KVN buat pertama kalinya menganjur program ini dengan objektifnya memberi pendedahan tentang kepentingan fardu ain kepada anak-anak secara teori dan praktikal.

Menariknya penyertaan kem ini pada mulanya dihadkan kepada 20 peserta lelaki dan 20 peserta perempuan, berumur di antara 6-15 tahun. Memandangkan permintaan penyertaan yang tinggi, pihak KVN bersetuju menerima 85 peserta (50 lelaki dan 35 perempuan).

Majoriti peserta adalah anak-anak pelajar Ph.D warga Malaysia yang tinggal di utara Melbourne dan sebahagian kecil adalah anak-anak Melayu yang menetap di sini.

Pengarah Kem Ibadah, Sallehudin Harun dalam ucapan penutupnya berkata, kem ini dapat menunaikan sebahagian tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak dalam memberi pendidikan fardu ain.

Katanya, suasana kehidupan di Melbourne telah menyedarkan ibu bapa agar memberi pendedahan dan penekanan pendidikan Islam kepada anak-anak dengan menghantar mereka ke Kem Ibadah.

Peserta Kem Ibadah ini dibahagikan kepada 5 kumpulan dan diselia oleh 10 orang fasilitator. Pengisian secara praktikal memberi semangat kepada para peserta melakukan ibadat dengan lebih tekun.

Sementara, penjelasan terhadap kesilapan semasa melakukan ibadat dalam bentuk visual memberi kesan yang positif kepada peserta.

Kejayaan Kem Ibadah ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak yang turut memberi sumbangan dalam bentuk wang, makanan dan tenaga.

Adalah diharap, program sebegini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan komentar anda"