Wednesday, January 12, 2011

Hidupkan kamera lama


Hidupkan kamera lama



SEORANG pekerja pembinaan di California, Amerika Syarikat (AS), Rick Norsigian tidak menyangka koleksi 65 keping filem negatif yang dibeli sedekad lalu kini bernilai AS$200 juta (RM638 juta).

Dia membeli filem negatif itu pada harga AS$45 (RM144) selepas membuat tawar-menawar menerusi jualan garaj di Fresno, Los Angeles dan selepas dicuci menjadi foto, saudara-maranya mendapati ia seperti rakaman jurugambar terkenal AS, Ansel Adams.

Bukan itu sahaja, peguam terkenal Baverly Hills, Arnold Peter dengan bantuan pakar seni mengesahkan ia adalah karya asli Adams dari tahun 1920-an hingga 1930-an.

Adams dianggap jurufoto hitam putih terbaik AS dalam memotret gambar landskap semula jadi terutama di Taman Nasional Yosemite dan sekitar Sierra Nevada.

Kini, orang ramai hanya mampu melihat koleksi foto Adams di Muzium Seni Moden San Francisco, AS kerana Adams telah meninggal dunia 27 tahun lalu semasa berusia 84 tahun.

Di Malaysia, bidang fotografi profesional dan komersial mula bertapak sekitar tahun 70-an malah terdapat jurufoto yang aktif secara profesional sejak tahun 60-an.

Antara individu berpengalaman dan digelar 'otai' dalam bidang fotografi filem negatif atau analog yang menjadi rujukan ramai jurufoto di negara ini adalah Redzuan Ahmad (Pak Wan), Hamzah Hurmin dan Raja Harun Redzuan.

Mereka merupakan antara pelopor dan tenaga pengajar pelbagai teknik fotografi bahkan turut menghasilkan buku sebagai panduan jurufoto dahulu hingga kini.

Namun, di sebalik kejayaan yang dikecapi individu terbabit, kamera filem negatif semakin tenggelam akibat kemunculan teknologi digital yang memasuki negara ini kira-kira 10 tahun lalu.

Digital

Penjualan kamera filem negatif semakin merosot malah ramai pemilik kedai kamera pada ketika itu gulung tikar dan ada yang pantas menyesuaikan perniagaan dengan menjual kamera digital.

Pemilik kedai membaiki kamera filem negatif, Albert Cheah, 46, berkata pada waktu itu dia cukup terkesan dengan kemunculan kamera digital sehingga hampir menutup kedai sekitar tahun 2000.

Dia yang aktif membaiki kamera sejak lebih 20 tahun lalu memberitahu, pelanggannya mulai susut ketika kemunculan kamera digital ke pasaran Malaysia.

"Macam mana perniagaan mahu jalan kalau semua dah tukar pakai kamera digital.

"Waktu itu pun kita tak tahu teknologi kamera digital malah kamera baru sudah tentu ada jaminan dari pengeluar," katanya.

Sebelum beroperasi di kedai sekarang yang terletak di Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sejak tujuh tahun lalu, dia bersama ayah dan adiknya menjalankan perniagaan di Kompleks Selangor, Jalan Sultan.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun ini, kegilaan bermain kamera filem negatif mula terserlah apabila ramai pelanggan menghantar kamera lama untuk dibaiki.

Kamera filem negatif yang dianggap klasik seperti, Leica, Mamiya, Rolleiflex, Hasselblad, Minolta, Pentax, Yashica, Nikon dan Canon semakin digilai anak muda yang sebelum ini hanya pandai mengendalikan kamera digital.



Albert yang mula berjinak-jinak dengan kamera ketika berusia 12 tahun berkata, kemahiran membaiki kamera filem negatif tahun 70-an dan ke bawah yang dianggap klasik semakin jarang ditemui kerana proses tersebut sangat rumit dan memerlukan banyak kesabaran.

"Bagi membaiki sebuah kamera, masa yang diambil ialah di antara dua hingga tiga jam.

"Namun, ia juga bergantung pada jenis kerosakan," katanya yang pernah bekerja secara kontrak dengan syarikat Canon semasa zaman kegemilangan filem negatif.

Dedahnya, kamera lama yang paling sukar dibaiki adalah daripada jenama Leica dan Rolleiflex buatan Jerman kerana peralatan serta skrunya amat berbeza.

Tambahnya, bahagian yang sukar dibaiki adalah shutter kerana ia terlalu sensitif di samping harga alat gantinya yang tidak relevan.

Albert yang terkenal dengan sikap peramahnya memberitahu, sekitar tahun 90-an, kedainya di Jalan Sultan pernah didatangi bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba.

"Pada waktu itu saya amat terkejut apabila Tun Ghafar datang ke kedai saya.

"Dia meminta saya membaiki kamera filem negatif miliknya daripada jenama Pentax," imbaunya.





Peralatan
SELAIN membaiki kamera digital, kedai Albert turut membaiki kamera analog yang kini mendapat perhatian golongan muda.


Dakwanya, sehingga saat ini, hanya empat kedai termasuk kedainya sahaja yang menawarkan perkhidmatan membaiki dan menservis kamera filem negatif di sekitar Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai perbezaan antara kamera filem negatif dan kamera digital, Albert berkata, mereka yang bermain kamera filem negatif merupakan orang yang sabar dan mempunyai sedikit sifat 'emo' sebab itu hasilnya sangat berkualiti.

"Tidak seperti sekarang, kalau tersalah ambil boleh padam dan ambil lagi sehingga elok.

"Jika tak elok sekalipun mereka boleh menggunakan pelbagai perisian komputer untuk mengedit.

"Saya percaya kebanyakan jurufoto kini semakin hilang bakat menggunakan kamera filem negatif disebabkan mudahnya menggunakan kamera digital," katanya.

Dalam pada itu, adiknya, Andy Cheah, 43, yang turut bekerja di kedai sama memberitahu, pelbagai peralatan digunakan untuk membaiki kamera filem negatif.

Sebahagian peralatan yang digunakan diimport terutama dari Hong Kong.

Terangnya, antara peralatan itu adalah pemutar skru pelbagai jenis, peniup habuk (blower), pisau, playar, alat mengimpal logam dan cecair kimia khas bagi mencuci lensa.

"Kami juga menggunakan sabun bagi mencuci lensa kamera lama untuk membuang kulat dan habuk.

"Namun, sabun tidak sesuai digunakan untuk lensa kamera digital kerana ia agak sensitif.

"Walaupun komponen kamera bersaiz kecil, kami menggunakan lampu yang lengkap dengan kanta supaya kerja menjadi lebih jelas dan mudah," ujarnya.

Andy yang gemar berjenaka dengan pelanggannya memberitahu, permintaan untuk membaiki dan menservis kamera lama bukan diterima sekitar Lembah Klang sahaja malah warga Singapura turut menggunakan khidmat mereka.

Menurutnya, warga Singapura akan menghantar kamera lama dalam kuantiti yang banyak untuk dibaiki dan mereka akan datang dalam tempoh dua bulan sekali.

"Di Singapura pun ada kedai membaiki kamera lama tetapi daripada dakwaan mereka yang datang ke sini, hasil yang diberikan kurang memuaskan.

"Berbeza di sini kita akan proses sehingga pelanggan puas hati," katanya.

Dia yang terlibat membaiki kamera sejak di tingkatan satu memberitahu, selain membaiki kamera filem negatif, kedai mereka turut menyediakan perkhidmatan membaiki dan menservis kamera digital.

Bagi jurufoto sambilan, Jamallullail Abd. Wahab, 45, yang merupakan pelanggan tetap kedai tersebut sejak tujuh tahun lalu berkata, hasil kerja dua beradik itu memang kemas dan baik.

Dia yang pernah mengambil gambar untuk Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) pada tahun 2002 memberitahu, jika mengalami sebarang masalah pada kamera miliknya hanya kedai Cheah menjadi pilihan.

"Kedai ini istimewa kerana pemiliknya peramah dan harga juga boleh dirunding dan kebanyakan jurufoto yang saya kenal akan menghantar kamera mereka ke sini.

"Tetapi saya mengesyorkan jurufoto muda yang ingin mahir dalam bidang fotografi agar belajar bermain dengan kamera filem negatif dahulu.

"Saya gerenti selepas itu mereka akan mahir mengendalikan kamera digital," ujarnya bersemangat.
























No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan komentar anda"