Thursday, December 9, 2010

Ikan naga terdampar di Sungai Mersing


Ikan naga terdampar di Sungai Mersing

BEBERAPA nelayan bersama ikan naga yang ditemui di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Mersing, semalam.



MERSING 8 Dis. - Penduduk di sekitar bandar ini gempar apabila 20 nelayan menjumpai seekor ikan air tawar spesies Giant Arapaima Gigas (ikan naga) yang terdampar di muara Sungai Mersing semalam.

Ikan seberat 55 kilogram (kg) yang dikatakan berasal dari Sungai Amazon itu ditemui mati berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dekat sini.

Seorang nelayan warga Myanmar, Auti Htay, 33, berkata, dia menjumpai ikan tersebut semasa hendak menaiki bot pukul 9 malam.

"Saya ternampak objek besar dalam sungai tersebut yang disangkakan buaya dan sejurus selepas itu, saya terus memanggil rakan-rakan untuk melihat dengan lebih dekat dan mendapati ia adalah ikan naga," katanya.

Menurutnya, ikan tersebut bagaimanapun telah mati semasa dia dan rakan-rakannya menaikkannya ke atas bot untuk diletakkan di dalam bekas berisi air batu.

Seorang rakyat tempatan, Ariffin Jusoh, 46, berkata, mungkin ikan tersebut dibuang oleh pemiliknya ke dalam air masin kerana telah cedera atau mati memandangkan ikan itu tidak mampu hidup di dalam air masin.

"Banyak kali saya menemui ikan sebesar itu di laut, namun inilah pertama kali saya melihat ikan air tawar seberat 55kg dan panjangnya menjangkau 1.8 meter," katanya yang mendakwa penemuan ikan spesies itu adalah yang pertama di muara Sungai Mersing.

Seorang lagi nelayan, Tan Chai Tuan, 51, pula mengakui pada mulanya sukar mempercayai penemuan ikan itu apabila dimaklumkan mengenainya.

"Sepanjang saya jadi nelayan, belum pernah menjumpai ikan air tawar sebesar dan seberat ini," katanya sambil memberitahu, ikan tersebut dipanggil ikan naga kerana mempunyai sisik berwarna merah yang cantik dan kepalanya keras serta menyerupai naga atau buaya.

Utusan Malaysia. Khamis 9 Disember 2010

No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan komentar anda"