Tuesday, June 22, 2010

Wali Songo Tour



March, aku ke Jogjakarta lagi. Cuma kali ini aku datang ke sini bersama keluarga sempena cuti sekolah dari 16 hingga 19 March 2010. Kunjungan kali ini juga bersama orang yang paling istimewa sekali Abahku - Asararuddin Hj Rafie. Kunjungan kali ini adalah untuk memenuhi impian abah...menjejaki dan melawat tinggalan Wali songo. Walaupun kami hanya dapat melawat dua makam tetapi Abah sudah cukup gembira. Perjalanan kali ini akan membawa kami dari Jogja ke Solo, Semarang, Kudus dan Demak.

Seperti biasa kali ini aku turut disertai oleh keluarga rakan baik, Abdul Rahman Mohd Sadri....

Dari Kuala Lumpur dengan pesawat MAS, kami tiba di Jogja pada jam 10.30 pagi. Di Lapangan Terbang Adi Sucipto, Muhammad Hadi, yang merupakan rakan dan Pengurus Pelancongan, Trend Tour, ejen pelancongan di Jogja telah menanti dengan senyuman. Perjalanan kali ini seperti perjalanan sebelumnya akan disertai juga oleh Hadi.

Seperti yang telah dirancang, dari Jogjakarta kami terus menuju ke Semarang. Dalam perjalanan kami singgah sebentar di Solo, oleh kerana Abah belum pernah ke sini, apa yang dilihat di sini amat asing baginya. Semuanya bagi Abah amat pelik...semuanya Abah bandingkan dengan Malaysia...anak bujang aku, Asyraf Faiq, diberikan tugas untuk menjaga dan menemankan atoknya...pening juga Faiq nak jawab soalan-soalan Abah. Mujurlah Faiq dah biasa di sini dan ini merupakan kunjungan ketiga Faiq ke sini.

Kami sempat juga melawat Pasar Antik Triwindu, dan seperti biasa, pelita merupakan bahan pencarian utama di sini. Tidak hampa, suami memperolehi sebuah pelita yang cantik, unik dan boleh tahan juga mahalnya. Aku tak lepaskan peluang untuk membeli belah di PGS..tak banyak pun sekadar beberapa helai baju batik dan beberapa pasang kain ela dan kebaya untuk anak dara Natasha Atiqah....(semasa artikel ini ditulis Natasha berada di Sarawak untuk menjalani latihan PLKN di Kem Puncak Permai, Bau, Kuching, Sarawak.......Yang, mama rindu sangat).

Kami makan tengahari di Restoran Pecel Solo. Sebuah restoran kecil dengan dekorasi yang menarik dan telah dikunjungi oleh ramai pemimpin Indonesia termasuk Bambang Yudhoyono sendiri. Uniknya di sini terdapat dua jenis kuah pecel untuk dipilih, kuah pecel dari kacang tanah atau kuah pecel dari bijan....dua-dua pun sedap. Cawangan restoran ini di Jogja merupakan antara restoran yang menjadi tempat wajib untuk dikunjungi setiap kali aku ke Jogja..

Sepanjang perjalanan pemandu pelancong, Pak Rahardjo banyak menceritakan tentang sejarah, asal usul kerajaan dan raja-raja selain wali songo itu sendiri, metos, juga pelbagai maklumat berkaitan pulau jawa kepada kami. Yang menariknya bila beliau bertanya kami apakah maksud perkataan Jawa. Menurut Pak Rahardjo Jawa bermaksud Jago Wang. Secara simboliknya bermakna orang jawa ni pandai berjimat cermat dan menyimpan duit.

Kota Semarang

Menghampiri Kota Semarang, masing-masing dah kelaparan. Kami terjumpa sebuah restoran yang cukup terkenal di Jogja....rupanya ada juga cawangan di sini, Gama Candi. Apa lagi terus makan malam hidangan ikan bakar di sini.

Semarang mempunyai beberapa keistimewaannya tersendiri. Dari segi makanan, Bantheng Presto merupakan makanan popular di sini. Bantheng merupakan ikan sungai yang telah di keringkan seperti satay dengan saiz yang agak besar dan boleh dimakan dengan nasi.

Semarang juga terkenal sebagai tempat pengeluaran jamu dan yang popular di sini ialah Jamu Cap Jago dan Jamu Nyonya Meneer. Dapat dilihat deretan kilang-kilang jamu di sepanjang pinggir kota Semarang.

Semarang juga terkenal sebagai bandar pelabuhan. Selain itu ia juga dikenali sebagai kota banjir, mungkin kerana kedudukannya berhampiran dengan laut. Banjir di sini tidak hanya oleh air hujan, tetapi juga oleh air pasang. Melalui pemerhatian penulis ini mungkin disebabkan oleh sistem perparitan. Sepanjang perjalanan keluar dari Semarang menuju ke Kudus, dapat dilihat Kota Semarang basah dan air masih bertakung di beberapa tempat. Malahan jalan-jalan di sini juga tidak rata mungkin kerana terlalu sering banjir, tar juga turut terhakis.

Daerah Kudus

Daerah Kudus merupakan daerah pengeluar rokok. Di sinilah terdapatnya kilang rokok Kretek dan Djarum. Selain itu Kudus juga dikenali dengan penghasilan Dodol. Seperti di Malaysia, dodol biasa dan dodol durian juga ada di sini, terdapat juga dodol kacang tanah, dan dodol sirsat (dodol dari buah durian belanda). Semuanya sedap...

Komplek Makam Sunan Kudus tidak boleh dimasuki oleh kenderaan luar. Kami menuju ke stesen angkutan awam dan ditetapkan untuk menaiki dua buah angkot untuk ke sana. Untuk anda yang belum pernah ke sini, terlalu ramai peminta sedekah yang mengekori ada dari hentian angkot menuju ke makam....kami telah diberitahu oleh pemandu pelancong kami untuk tidak mengendahkan mereka ini. Oleh kerana aku tahu berbahasa jawa...maka adalah perkataan-perkataan tidak enak yang terkeluar dari mulut peminta sedekah ini apabila kami tidak mengendahkan mereka....tutup telinga saja la.

Komplek makam mempunyai pintu masuk dan pintu keluar yang merupakan pintu gerbang yang di bina dengan pengaruh senibina hindu. Ada metos yang menjadi kepercayaan penduduk tempatan mengenai laluan keluar dari komplek ini. Terdapat dua laluan keluar, satu menerusi pintu gerbang dan satu lagi melalui pintu kecil di sisi pintu gerbang.....ramai yang memilih untuk melalui pintu kecil.....kami pun ikut pintu kecil je la.

Usai melawat makam ini, kami kembali ke kenderaan dengan menaiki beca.....tak boleh naik angkot atau kenderaan lain. Sekarang giliran beca pula untuk mendapat upah...tak ada pilihan lain, cari pasangan anda dan naik beca yang telah di khususkan untuk ahli rombongan...

Satu pengalaman indah dan ngeri menaiki beca....Beca di sini lebih berkuasa dari kenderaan lain. Lampu merah pun terus kayuh je...tak payah berhenti. Penumpang beca yang pejam mata ngeri. Pengayuh beca ni pun mengayuh beca dengan laju...kecut perut betul. Nak naik lagi beca ni? Emmmm kena fikir dua tiga kali la....

Daerah Demak

Kami meneruskan perjalanan ke Demak. Tempat bersemadinya pemimpin Wali Songo, Sunan Kalijaga. Melihat rekabentuk Masjid Agung Demak ini, kita bagaikan tertanya-tanya, di manakah menara masjid ini? Mengikut sejarahnya, masjid ini dibina tanpa menara kerana pemerintah pada masa itu mengamalkan toleransi dari segi agama. Jika dilihat dari sudut senibina, masjid ini mempunyai pengaruh senibina cina dan hindu.

Semasa permulaan Islam bertapak di sini, Raja memerintahkan supaya gemelan dimainkan di perkarangan masjid supaya penduduk tempatan akan datang beramai-ramai untuk mendengar paluan gamelan. Ketua-ketua agama mengambil kesempatan ini untuk melakukan proses pengislaman kepada penduduk tempatan yang hadir.

Makam Kadilangu pula merupakan Komplek Makam Sunan Kalijaga. Oleh kerana kesuntukan masa kami tidak menziarahi makam ini tetapi hanya melawat Masjid Agung Demak yang juga merupakan masjid tinggalan Sunan Kalijaga. Selesai sudah lawatan kami ke Kudus dan Demak, maka tertunailah juga hasrat Abah untuk melawati tinggalan Wali Songo.

Dari Demak kami meneruskan perjalanan ke Jogja melewati Daerah Unggaran, Ambarawa, Secang, Magelang dan Muntilan. Nama-nama kampung di sepanjang perjalanan ini dimulai dengan perkataan Sleman...yang membawa maksud Hutan Gajah. Menurut Pak Rahardjo dahulunya banyak kawanan gajah menghuni kawasan ini sebelum hutan ini diteroka dan dijadikan kampung.

Melewati Magelang hari sudah senja. Getuk Ubi merupakan makanan popular di Magelang. Getuk Ubi di sini ada pelbagai rasa, bentuk dan warna. Malahan telah dikotakkan untuk dijadikan oleh-oleh khas Magelang.

Magelang juga popular dengan salak pondohnya. Oleh kerana hari telah gelap, kami singgah di kedai tepi jalan sahaja untuk membeli buah Salak. Tidak seperti selalu, aku akan membawa ahli rombongan memetik sendiri buah salak dari kebun. Makan malam di Restoran Sintawang...dan terus ke Hotel Santika Premier Jogjakarta, yang merupakan hotel penginapan kami.

Bagi anak-anak lawatan hari ini telah berakhir. Bagi kami, belum lagi. Hadi telah menyediakan kereta dan pemandu untuk membawa kami bersiar-siar dan menikmati keindahan malam di Jogja. Apa lagi aku mesti tunjuk kat Rahman tempat lepak kalau ke sini...kami ke Reminten. Sebuah restoran dengan konsep santai dan harga yang amat berpatutan...macam-macam makanan dan minuman serta beberapa jenis jamu disediakan di sini. Ada rondo royal, kopi purwoceng, roti keju, es degan dan tak ketinggalan juga fries ubi kayu...

Inilah yang membuatkan aku selalu rindu untuk ke Jogja. Makanannya yang pelbagai, murah dan keramahan orang-orang di sini selalu memikat hati....

Daerah Kaliurang, Kaliadem dan Kuncen

Selepas sarapan kami menuju ke Ullen Sentalu di Kaliurang. Ullen Sentalu merupakan muzium Kesenian Jawa milik peribadi seorang doktor anak kelahiran tanah jawa yang telah menetap di Amerika Syarikat. Dalam perjalanan pulang aku bawa Abah singgah ke kedai Mbah Carik. Di sini popular dengan juadah Wajik dan Jadah. Jadah merupakan juadah tradisi masyarakat jawa yang diperbuat dari pulut dan kelapa yang ditumbuk lumat dan dipotong kecil-kecil. Oleh kerana rasaya lemak Jadah sesuai dimakan dengan Wajik yang rasanya manis. Bagi masyarakat tempatan di sini, Jadah dan Wajid dimakan bersama Tauhu dan Tempe Bacem. Di kalangan masyarakan Jawa di Malaysai ni Jadah hanya akan ditemui semasa majlis perkahwinan yang biasanya dihidangkan kepada orang kampung yang datang menolong.

Kami tidak ke Merapi di Kaliadem. Hanya dapat menunjukkan puncak Merapi pada Abah. Oleh kerana Abah tidak pernah ke Merapi, Pak Rahardjo menceritakan bahawa Merapi mempunyai penjaganya yang tersendiri. Penjaga ini merupakan orang yang telah dilantik oleh Sultan. Embah Marijan merupakan Penjaga Kunci semasa Merapi meletus baru-baru ini, dan beliau masih merupakan Penjaga Kunci Merapi sehingga kini

Dalam perjalanan kami singgah di Daerah Kuncen. Nak cari apa di sini? Nak cari pelita lagi di Pasar Klitikan. Pasar Klitikan merupakan pasar barangan lama juga barangan baru. Anda akan jumpa apa saja yang anda peran di sini, barangan dapur, motor, kereta, barangan elektrik, yang baru yang lama semua ada....wah dah banyak kali ke sini pun inilah baru pertama kali aku ke sini. Memang menarik di sini. Seperti biasa, jumpa juga sebuah pelita yang cantik. Walaupun beli di pasar barangan lama, oleh kerana pelita ini pelita lama....harganya tetap mahal. Tapi tak apa....puas hati.

Malioboro

Maliboro merupakan nadi Jogjakarta. Tak sah ke Jogja jika tidak ke sini. Aku mesti bawa Abah ke sini. Baru sampai je di pangkal jalan. Abah dah pening kepala....Bau hancing kencing kuda dari Dolkar (kereta kuda) yang berderetan di kiri kanan jalan membuatkan Abah mual...tak boleh tahan. Aku bawa Abah ke Mirota Batik, kat sini pun banyak benda yang boleh dijadikan cendera hati. Abah beli banyak juga kopi, rokok buatan tempatan dan juga beberapa helai baju batik Jogja. Aku pula bila ke sini benda pertama yang dicari adalah sabun sireh. Aku bawa suami ke tingkat 2 bangunan ini untuk melihat deretan pelita antik yang dijual di sini..... rambang mata dah....tak tau nak pilih yang mana...semua cantik...semua mahal...semua antik. Kami meneruska perjalanan menyusuri Malioboro. Tunjukkan pada Abah, lesehan, kopi joss, nasi kucing, oseng-oseng mercon, penghibur dan pemuzik jalanan....

Sesampai di hotel, Abah dah kepenatan. Malam ini Rahman ajak keluar lagi lepak di Reminten....dah naik seronok pula minum-minum di sini.

Selepas sarapan kami bersiap untuk pulang ke Malaysia. Penerbangan pulang pada jam 11.45am waktu tempatan. Selesai sudah lawatan ke Jogjakarta, Solo, Semarang, Kudus dan Demak. Selesai sudah misi menjejaki tinggalan Wali Songo. Insyaallah ada rezeki kami akan meneruskan penjejakan melalui Surabaya pula.

Selamat tinggal Jogja....





No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan komentar anda"