Tuesday, February 23, 2010

Kalamullah


Kasih sayang pengikat rumah tangga


Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasaan kasih sayang, sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir. ( Ar-Rum: 21)



Huraian

Akhir-akhir ini kita sering digemparkan dengan kisah perceraian pasangan yang dikenali ramai sehingga menjadi bualan ramai dan tumpuan masyarakat. Sekali imbas kita tidak terlintas langsung pasangan tersebut akan memilih jalan untuk berpisah.

Ini kerana mereka sempurna dari segi keperluan asasi seperti mempunyi kerjaya, anak, rumah, kenderaan dan indah rupa paras. Namun apabila ia melibatkan persoalan hati dan perasaan maka segala kemewahan, kecantikan dan kedudukan sudah tidak bernilai lagi. Tiada apa yang dapat membantu apabila hilangnya tiang seri rumah tangga iaitu kasih sayang.

Kasih sayang diungkapkan dalam ayat ini adalah ikatan yang mengeratkan hubungan antara lelaki dengan wanita.

Allah SWT menjadikan wanita sebagai pelengkap kebahagian lelaki dengan pancaran kasih sayang. Namun kasih sayang tidak mungkin lahir tanpa kerjasama kedua-dua belah pihak.

Pada asasnya kasih sayang antara lelaki dengan wanita perlulah bertunjangkan agama iaitu sama-sama berharap menjadi insan bertakwa melalui ikatan perkahwinan.

Namun sekiranya kasih sayang beasaskan paparan zahiriah sahaja seperti kedudukan, kemewahan dan kecantikan maka pasti rumah tangga yang dibina lambat-laun akan dilanda badai.

Justeru, kasih sayang yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada pasangan lelaki dan wanita perlu dipupuk dan disemai kerana hati dijadikan oleh Allah SWT sentiasa berbolak-balik.

Hati dan perasaan yang sejahtera adalah kekuatan kepada pasangan suami isteri dalam menghadapi kesukaran hidup lantaran ia adalah roh kebahagiaan rumahtangga.

Kesimpulan

Kasih sayang antara suami isteri adalah tunjang kebahagiaan rumah tangga. Hilangnya kasih sayang maka rosak binasalah rumah tangga walau memiliki kemewahan semesta alam, ketampanan seindah Nabi Yusuf, kecantikan sejelita bidadari dan kekuasaan sehebat Nabi Sulaiman.

Semua nikmat dunia tidak memberi makna apabila tandusnya kasih sayang, longgarnya kesetiaan, pincangnya kepercayaan dan hilangnya kecintaan antara suami isteri.


Disediakan oleh

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

No comments:

Post a Comment

"Sila tinggalkan komentar anda"